Penerima Rumah RTO Jangan Buat Untung Atas Angin

JOHOR BAHRU 24 Feb. – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada penerima rumah Skim Sewa Beli (RTO) Jauhar Prihatin yang didapati membuat keuntungan ‘atas angin’ dengan menyewakan rumah mereka kepada pihak lain.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, usaha kerajaan negeri memperkenalkan skim tersebut adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri terutama mereka yang sukar mendapatkan pinjaman perumahan.

“Tahniah kepada bakal pemilik rumah yang berjaya melepasi permohonan skim sewa beli Jauhar Prihatin, suka saya mengingatkan jangan ada pula yang buat untung atas angin, kalau ada boleh lapor kepada pihak kami,” katanya berucap merasmikan Majlis Pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, Ulu Tiram di sini sebentar tadi.

 Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Mohd. Noorazman osman.

 Pada majlis itu, sebanyak 190 unit rumah pangsa berkenaan ditawarkan menerusi skim sewa beli Jauhar Prihatin yang dikendalikan oleh syarikat milik penuh kerajaan negeri, KPRJ menerusi anak syarikatnya, Generasi Ta’zim Sdn. Bhd. (GTSB).

 Osman berkata, skim Jauhar Prihatin diperkenalkan bagi membantu mereka yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan apabila ingin membeli rumah yang ditawarkan terutama golongan B40.

 Tambahnya, menerusi skim tersebut, penyewa akan bertukar menjadi pembeli selepas lima tahun dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan dengan rekod dan merit yang lebih baik. РUTUSAN ONLINE

Read More

LEAVE A COMMNENT