- Pihak penganjur tunai janji untuk menghantar dua juara tahun lalu dan seorang anak jati Johor ke kejohanan berprestij LÉtape Du Tour de France bertempat di Annemasse, Perancis
- Edisi kedua kali ini menampilkan beberapa penambahbaikan baharu termasuk cip masa yang canggih serta laluan perlumbaan berasingan untuk THE RACE (140km) dan THE RIDE (60km)
JOHOR BAHRU, 10 Mei 2023 – Edisi kedua L’Etape Malaysia oleh Tour De France bakal menyemarakkan arena berbasikal tanah air pada 7-8 Julai ini. Menjanjikan cabaran lebih besar, edisi kedua ini menampilkan beberapa penambahbaikan yang tentunya menghangatkan lagi perlumbaan Tour De France di Desaru Coast.
Digelar “Acara Berbasikal Amatur Terulung di Dunia”, L’Étape oleh Tour de France merupakan satu-satunya siri ‘cyclosportive’ yang memberi para pelumba amatur pengalaman berkayuh seperti dalam perlumbaan Tour De France.
Edisi sulung tahun lalu berjaya menarik penyertaan seramai 4,700 pelumba, sekali gus menjadikan LÉtape Malaysia sebagai penganjuran kedua terbesar di dunia bagi siri LÉtape oleh Tour de France.
LÉtape juga dilangsungkan di lebih 20 buah negara selain Malaysia. Setakat ini, edisi tahun ini sudah pun menerima penyertaan lebih 2,500 peserta dan pihak penganjur yakin bahawa mereka mampu mengumpul 4,000 penyertaan sebelum tarikh akhir pendaftaran pada 9 Jun 2023.
Seperti tahun sebelumnya, LÉtape Malaysia akan menampilkan lima kategori perlumbaan. Ia termasuk acara individu lelaki dan wanita THE RACE (140km) dan THE RIDE (60km), serta Berpasukan Lelaki (5 lelaki) dan Berpasukan Wanita (5 wanita).
Edisi tahun ini akan menyaksikan Kategori ELITE diperkenalkan buat kali pertamanya, dan ia adalah dikhaskan bagi kumpulan pengayuh amatur yang benar-benar kompetitif dan dahagakan cabaran perlumbaan profesional.
Justeru, untuk kategori ini, perkhidmatan perlumbaan profesional seperti seperti ‘mobile feeding’, cip masa, bantuan trafik dan logistik khusus, servis neutral khusus dan lain-lain lagi akan disediakan.
Meskipun edisi sulung tahun lalu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, dua penganjur bersama MUSE
Group Asia dan KPRJ Sports tidak mahu cepat berpuas hati. Sebaliknya, menerusi maklum balas yang diterima oleh peserta-peserta tahun tahun lepas, mereka berazam untuk mengendalikan kejohanan yang lebih menyeluruh.
Salah satu daripada penambahbaikan yang dilaksanakan untuk tahun ini adalah pengunaan teknologi cip masa yang lebih canggih dalam perlumbaan. Langkah itu adalah untuk menjamin ketepatan masa yang dicatat oleh para pelumba di garis penamat.
LÉtape Malaysia 2023 turut akan menampilkan sebuah pasukan teknikal yang dinaiktaraf yang bertujuan untuk memberi sokongan yang lebih cekap kepada para peserta. Cyclomotion – yang merupakan penyedia khidmat teknikal utama bagi perlumbaan amatur, akan menjadi sebahagian daripada kru teknikal L’Étape Malaysia. Ini sekaligus menjadikan pasukan teknikal lebih besar dan berupaya memberi sokongan yang lebih menyeluruh daripada pengesanan kerosakkan sehinggalah bantuan berkaitan prestasi.
Para pelumba juga boleh menjangkakan cabaran yang berbeza pada tahun ini dengan laluan baharu diperkenalkan di Desaru Coast. Laluan perlumbaan 60km dan 140km akan dipisahkan supaya ia tidak bertindih, dan ini membolehkan para pelumba memberi tumpuan sepenuhnya untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa peribadi terbaik mereka. Meskipun pengaturan laluan yang berasingan akan menelan belanja lebih besar memandangkan ia akan memerlukan sokongan tambahan, namun pihak penganjur merasakan ia hanyalah harga kecil yang perlu ditanggung mereka selagi ia memudahkan para peserta dan dapat membantu peserta memperolehi pengalaman perlumbaan yang sebenar.
Pelaksanaan dua laluan berasingan ini akan mendapat sokongan yang lebih padu daripada pihak berkuasa tempatan, yang merangkumi tenaga kerja anggota trafik yang mencukupi bagi memastikan kelancaran perlumbaan dari mula sehingga akhir. Bagi mengurangkan risiko kemalangan, stesen minuman dan bantuan tidak akan lagi ditempatkan di bahu jalan. Sebaliknya, hentian bersepadu “R&R” akan didirikan untuk para peserta berhenti dan memulihkan tenaga.
Hentian “R&R” tersebut akan mempunyai ruang tersendiri, dan ini bermaksud para peserta harus meninggalkan laluan perlumbaan jika ingin berehat sementara. Langkah ini akan dapat mengurangkan kebarangkalian pelanggaran bertindan-tindih, terutamanya dalam kalangan peserta kali pertama yang mungkin tidak biasa dengan hentian stesen minuman.
Satu panduan perlumbaan eletronik lengkap, yang merangkumi arahan keselamatan, akan diedarkan sebelum perlumbaan. Ia akan dihantar kepada semua peserta berdaftar, dan sebuah video berarahan ringkas juga akan disediakan sebelum hari perlumbaan.