Hari ini telah berlangsung Majlis Pecah Tanah Johor Integrated Scheduled Waste Hub (JISWH) yang disempurnakan oleh YAB Datoβ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di tapak projek di Seelong, Mukim Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi.
JISWH akan diterajui oleh Kitar Selatan Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat KPRJ Environment Sdn Bhd (KESB) yang merupakan syarikat milik penuh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dan dengan kerjasama rakan strategik SJ Varied Sdn Bhd (SVSB). Ia bakal menjadi penanda aras bagi pusat pengurusan buangan terjadual yang lebih selamat, sistematik dan bertaraf antarabangsa di bawah pemantauan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
JISWH terletak di lokasi strategik berhampiran Tapak Pelupusan Sanitari Seelong, dan akan dilengkapi antaranya loji rawatan termal, solidifikasi, fizikal & kimia serta tapak pelupusan selamat. Ia mensasarkan pengurusan 76 kod buangan terjadual yang merangkumi kawasan industri di Johor, Melaka dan Pahang untuk tempoh operasi selama 30 tahun.
Menurut YB Datoβ Lukman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, projek ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang mengimbangi nilai ekonomi dan kelestarian alam sekitar untuk negeri Johor. Fasiliti ini juga menyokong agenda Maju Johor 2030, Johor Bersih dan keperluan ESG sejajar pembangunan JS-SEZ. Selain itu, ia juga akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
JISWH bukan sekadar sebuah fasiliti, tetapi simbol komitmen Johor dalam memastikan pembangunan industri bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
