Yong Peng, 7 Mei 2018 – Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bagi Lot 32210 telah diadakan pada hari ini bertempat di Tapak RMMJ Yong Peng memberi gambaran agenda memperkasakan sektor perumahan merupakan salah satu agenda utama yang Kerajaan Johor perjuangkan.
Majlis ini disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor. Turut hadir di majlis ini adalah Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Inisiatif Kerajaan Negeri dengan membina RMMJ telah memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri. Pada pembentangan Bajet Negeri baru-baru ini, sebanyak 13,536 unit RMMJ akan disiapkan bagi tahun 2018, manakala 30,993 unit dalam tahun 2019 dan 2020.
RMMJ Yong Peng yang diterajui oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ) ini memperlihatkan 153 unit RMMJ jenis setingkat akan dibangunkan di lot 32210 dengan keluasan 33.112 ekar. Setiap unit RMMJ jenis setingkat ini mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air dengan keluasan 1000 kaki persegi (20’ x 70’).
Lokasi RMMJ Yong Peng ini adalah terletak 3 kilometer dari Pusat Bandar Yong Peng dan akses jalan yang mudah dengan melalui Yong Peng dan Chaah. Tapak pembinaan RMMJ disini adalah bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yong Peng 2 dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Yong Peng.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ), Haji Abd Razak Mohd Yusoff, KPRJ akan memastikan bahawa amanah yang telah di berikan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan kesemua komponen perumahan di kawasan ini akan dilaksanakan dengan sebaiknya.
RMMJ di Yong Peng ini merupakan langkah pembangunan inklusif dan antara agenda pembangunan untuk memastikan penduduk setempat dapat menikmati perumahan mampu milik yang bertepatan dengan misi Dekad Baharu Johor.