Pembinaan venue SUKMA XX Johor capai 80 peratus

KUALA LUMPUR, 19 DECEMBER 2019Kemajuan kesemua kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf venue bagi Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, sudah mencapai 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma Johor, On Jabbar @ Ja’afar berkata Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang diberikan kepercayaan itu oleh kerajaan negeri, sedang melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik menjelang temasya yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan, diikuti Para Sukma, dari 16 hingga 22 Ogos 2020.

“Sebanyak 11 venue masih dalam pembinaan dan ada venue yang telah siap seperti Stadium Olahraga Mount Austin yang menelan kos RM182 juta, cuma tunggu kemudahan utiliti dan infrastruktur. Bagi pengelolaan pula, semua perancangan dah siap mengikut 24 jawatankuasa yang dibentuk seperti penginapan, pengangkutan dan keselamatan.

Dari segi gerak kerja dan perolehan, kita akan mulakan pada tahun depan,” katanya pada sidang media dan majlis memperkenalkan penaja Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) di Wisma OCM di sini, hari ini.

Antara venue yang masih dalam pembinaan ialah Youth Hub Iskandar di Iskandar Puteri yang menempatkan trek velodrom dan BMX, serta Arena Emas di Taman Impian Emas mempunyai gelanggang memanah, arena boling padang, arena petanque dan pusat skuasy.

Selain hab utama di Johor Bahru, beberapa sukan seperti pelayaran dan berbasikal lebuh raya akan dianjurkan di Daerah Kota Tinggi, manakala Muar bakal menganjurkan kanu dan angkat berat daripada 26 jenis sukan yang bakal dianjurkan.

— BERNAMA

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-sukan/pembinaan-venue-sukma-johor-capai-80-peratus-225770