Teknologi sistem binaan berasaskan kenaf bakal dikomersialkan

IMG-20210419-WA0069-2
Mohd Khairuddin Aman Razali

JOHOR BAHRU – Teknologi sistem binaan berasaskan kenaf bakal dikomersialkan secara meluas di seluruh negara dan diyakini berpotensi berkembang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi,  Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, teknologi yang dikenali sebagai Kenaf Building System (KBS) berpotensi  menjimatkan tenaga kerja selain tidak menjejaskan alam sekitar.

Untuk permulaan, katanya, projek perumahan jangka panjang bernilai RM10 bilion yang menggunakan teknologi sistem binaan KBS kini berada di peringkat akhir perbincangan.

“Keperluan bahan kenaf bagi projek berkenaan dianggarkan sebanyak dua juta tan dan memerlukan keluasan tanaman seluas 20,000 hektar dalam tempoh 10 tahun, akan diumumkan perinciaanya dalam masa terdekat, mampu melonjakkan industri penanaman kenaf negara.

“KBS adalah bahan binaan ringan yang dapat mempercepatkan tempoh pembinaan, menjimatkan guna tenaga dengan kos pembinaan antara 25 hingga 30 peratus berbanding kaedah konvensional.

“Malah teknologi KBS mampu menjimatkan kebergantungan terhadap bahan mentah seperti pasir dan batu agregate yang menjejaskan ekosistem alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau,  KBS juga adalah bahan penebat haba yang baik, sekali gus mampu menjimatkan penggunaan tenaga elektrik untuk jangka panjang.

Menurut Mohd Khairuddin, sehubungan itu  kementeriannya juga menyasar untuk memperbanyakan lagi tanaman kenaf di seluruh negara.

Terdahulu, beliau dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN)  dan KPRJ Builders Sdn Bhd (KBSB).

Ia bagi mengkomersialkan teknologi pembinaan berasaskan kenaf (KBS)  di Johor menerusi kerjasama strategik LKTN dan KBSB.

IMG-20210419-WA0068Dalam pada itu, beliau berkata, kini Malaysia mempunyai tanaman kenaf seluas 2,000 hektar di Pahang dan Kelantan, manakala di Johor terdapat 20 hektar tanaman itu.

“Potensi pasaran industri kenaf akan melonjakkan transformasi pengeluaran pekebun kecil B40 kepada ladang kluster komuniti serta ladang komersial.

“Pengembangan teknologi KBS ini akan memberi kesan positif alam sekitar berikutan tanaman kenaf mampu menyerap 20 tan karbon dioksida sehektar dan penggunaan bahan binaan berdasarkan komoditi itu dapat menyimpan karbon dioksida sebanyak 28 tan pada setiap rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman, kerjasama dimeterai bersama LKTN adalah komitmen pihaknya bagi menyokong pembinaan menggunakan bahan binaan mesra alam.

“KPRJ percaya penggunaan teknologi KBS untuk industri pembinaan di Johor bukan sahaja mesra alam malah mampu menjinatkan kos pembinaan rumah di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette