Majlis Pelepasan Benih Udang Putih

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) telah mengadakan Majlis Pelepasan Benih Udang Putih sempena pelaksanaan Projek Rintis Penternakan Udang Putih, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Zahari bin Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada 29 Mei 2025 bertempat di Kolam Inkubator Fasa III, Gelang Patah.

Inisiatif ini bertujuan meneroka potensi baharu dalam bidang akuakultur, sekaligus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri selaras dengan aspirasi Dasar Agro Makanan Negara. Majlis simbolik ini menandakan permulaan kepada projek penternakan udang putih yang dilaksanakan di atas tanah seluas 8.8 ekar, milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Projek ini memberi tumpuan kepada aspek pengumpulan data, pemindahan ilmu (transfer of knowledge) dan penghasilan stok benih udang putih pada masa akan datang untuk manfaat komuniti setempat serta pengusaha akuakultur tempatan.

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip turut menyempurnakan acara pelepasan benih udang putih ke kolam sebagai simbolik pelancaran projek. Turut hadir, YB Dato’ Lukman Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ; YBrs. Tuan Haji Yosri Mohd, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor; YBrs. Encik Abdul Hakim Abdul Karim, Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor; serta YBhg. Datuk Abdul Aziz Sapian, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Johor Bahru Selatan.