Sesi Kunjungan Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu

Sesi Kunjungan Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuai oleh YB Dato’ Wan Sukairi bin Wan Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu kepada Kerajaan Negeri Johor telah berlangsung pada 19 Jun 2025. Turut hadir, YB Ir. Haji Saiful Azmi bin Suhaili, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa serta wakil-wakil daripada PLANMalaysia , Jabatan-jabatan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dari Terengganu dan pihak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri bagi sesi Perkongsian Pengalaman dan Hala Tuju Bandar Pintar Johor.

Delegasi turut dibawa melawat ke salah sebuah lokasi Stesen Sistem Pemantauan Kualiti Udara iaitu di Taman Nusantara, Gelang Patah untuk mendengar sesi taklimat ringkas berkenaan sistem tersebut. Kerja-kerja membekal dan pemasangan sistem ini di beberapa lokasi yang telah ditetapkan oleh PlanMalaysia Johor (PMJ) telah dilaksanakan oleh Digital Infra Group Sdn Bhd (DIGSB) iaitu anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ). Stesen Sistem Pemantauan Kualiti Udara ini merupakan antara komponen terpenting dalam ekosistem Bandar Pintar Johor hasil kolaborasi strategik antara PMJ, KPRJ dan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini.

Johor kini giat melaksanakan inisiatif Bandar Pintar Johor 2030 di bawah kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, yang menggabungkan perancangan spatial, kecekapan sistem penyampaian serta teknologi digital demi kesejahteraan rakyat. Lawatan ini membuka ruang perkongsian antara pegawai dan pimpinan dari Johor dan Terengganu dalam meneroka pendekatan terbaik terhadap isu perumahan, kebersihan, pengurusan data dan infrastruktur bandar secara bersepadu.

KPRJ mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kehadiran semua delegasi dan berharap sesi ini memberi nilai tambah dalam usaha memperkasa pelaksanaan Bandar Pintar secara mampan.