KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2019 – PETINJU profesional negara, Muhammad Farkhan Haron bakal berentap dalam pertarungan yang paling penting dalam kariernya apabila turun mencabar Pascal Ndomba dari Tanzania, di Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2019 pada 29 Disember ini.
Selain mempertahankan gelaran Asia bagi kelas cruiserweight (90.7 kg) Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Majlis Tinju Dunia (WBC), Muhammad Farkhan turut bakal mencabar gelaran antara benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Muhammad Farkhan, 30, yang memiliki rekod kemenangan 100 peratus apabila memenangi kesemua 10 pertarungan beliau sebelum ini, bagaimanapun perlu menghadapi lawan yang lebih berpengalaman dalam tinju profesional yang memiliki rekod 24 kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan.
“Ini adalah pertarungan paling penting dalam karier saya kerana buat kali pertama saya mendapat peluang untuk merangkul gelaran antara benua iaitu hanya satu tahap di bawah, sebelum bertanding untuk gelaran dunia. Persiapan saya sangat bagus pada kali ini untuk bagi acara utama JIBC tetapi cuma perlu turunkan 3kg dalam masa 10 hari ini.
“Memang beliau petinju yang lebih berpengalaman dengan 35 pertarungan, di mana 22 daripada 24 kemenangannya adalah menerusi KO (tewas jatuh) tetapi itu bukan alasan untuk saya mengaku kalah dari awal, tiada apa yang mustahil dan siapa yang mempunyai persiapan yang baik mampu menang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media dan majlis memperkenalkan penaja JIBC di Wisma OCM di sini, di mana Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Sports Johor, Ramada Hotel, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Mata Management and Services, Oxycom dan JB Care Centre Sdn Bhd diumumkan sebagai penaja.
Muhammad Farkhan juga mengakui bahawa beraksi di tempat sendiri di hadapan ramai penyokong dan orang ternama, memberi sedikit tekanan tetapi yakin mampu mengatasinya, selain berharap kesihatannya kekal baik.
Selain pertarungan utama melibatkan Muhammad Farkhan, seorang lagi petinju negara, Eswaran Murali (6-0-0) bakal berentap menentang Hery Andryanto dari Indonesia dalam ‘Co Main Event’ untuk merebut Kejuaraan IBA Asia.
JIBC yang berlangsung bermula 8 malam itu turut bakal dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Zizi Kirana dan Ben Ladin.
Peminat dari luar Johor boleh menyaksikan acara itu menerusi Astro Arena bermula 8-11 malam. – Bernama
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/62649/BERITA/Sukan/JIBC-Farkhan-sedia-hadapi-pertarungan-paling-penting