SEMUA 18 kemudahan baharu yang digunakan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Johor edisi ke-20, dijangka siap sepenuhnya April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kelancaran persediaan temasya sukan itu akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar sebelum acara bermula pada Julai ini.
Katanya, kebanyakan persiapan sudah hampir 60 hingga 90 peratus siap, selain fasa terakhir itu akan dijangka memenuhi spesifikasi seperti yang dijadualkan.
“Kompleks Sukan Mount Austin juga sudah siap, velodrom basikal Iskandar Puteri 90 peratus siap, lapang sasar 60 peratus, stadium olahraga 99 peratus dan astaka ragbi sudah 95 peratus.
“Selain itu, kemudahan bagi lokasi sukan pelayaran di Desaru pula 45 peratus, trek berbasikal 41 peratus dan ini tiada masalah kerana kita hanya sediakan ruangan dan beberapa kelengkapan,” katanya pada sidang media Karnival Semarak Juara SUKMA XX Johor 2020 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited dengan peluang serta penghormatan yang diberikan, selain berazam untuk menjadikan edisi SUKMA di Johor sebagai yang terbaik dari segi penganjuran, kemudahan dan teknologi.
“Secara keseluruhannya sejajar dengan alaf baru tahun 2020 kerajaan negeri berbesar hati untuk mengalu-alukan sebarang kejohanan sukan untuk berlangsung di negeri ini.
“Sekretariat SUKMA Johor juga akan memperkenalkan rekaan obor dan pingat penganjuran acara berkenaan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 6:30 PM
Source : MyMetro