Lawatan tapak ke projek pembangunan Residensi Bangsa Johor (RsBJ) di Parit Jawa, Muar

Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor bersama Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, diiringi Yang Berhormat Dato’ Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ dan Yang Berhormat Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan binti Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor telah mengadakan lawatan tapak ke projek pembangunan Residensi Bangsa Johor (RsBJ) di Parit Jawa, Muar.

Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk menyediakan Rumah Mampu Milik kepada rakyat di bawah Agenda Maju Johor 2030. RsBJ Muar merupakan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) berskala besar pertama di Parlimen Muar yang menunjukkan usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperluas capaian perumahan mampu milik secara inklusif.

KPRJ Development Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh KPRJ diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek ini yang melibatkan pembinaan 242 unit Rumah Teres Satu Tingkat 20′ x 70′ berkeluasan antara 800 hingga 900 kaki persegi dilengkapi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Pembangunan RsBJ ini akan ditawarkan pada 2 harga iaitu Jenis B (RM100,000) dan Jenis C (RM150,000) dengan keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan di kawasan Muar. Tapak projek ini terletak di lokasi strategik yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan asas seperti Sekolah, Klinik dan Masjid serta hanya 2 kilometer dari Pekan Parit Jawa.

Projek ini turut dilengkapi kemudahan komuniti seperti Surau dan Dewan Terbuka bagi menyokong pembangunan komuniti yang harmoni dan sejahtera. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada September 2025 dan penawaran kepada rakyat Johor akan dibuka bermula suku kedua tahun 2026 dan akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.