Majlis Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5 Taman Nusantara dan Taman Pulai Emas

GELANG PATAH, 27 April 2018 – Majlis Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKJ) Fasa 5 bagi SAKJ Taman Nusantara dan SAKJ Taman Pulai Emas telah diadakan pada pada hari ini bertempat di Tapak Projek SAKJ Taman Nusantara, Gelang Patah.

Majlis Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) Fasa 5Majlis yang diadakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) menerusi anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn. Bhd. (KBSB) ini dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor. Turut hadir, Tuan Haji Mohamed Khairi Bin A. Malik, Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah

Penduduk Taman Nusantara khususnya kini boleh menarik nafas lega selepas penantian hampir sedekad untuk memiliki Sekolah Agama sendiri akhirnya akan terlaksana. Buat masa sekarang, sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan di bangunan akademik Sekolah Kebangsaan Taman Nusantara sementara menunggu bangunan ini siap dibina. Antara kelengkapan yang bakal dinikmati para pelajar dan warga pendidik termasuklah perpustakaan, bilik rawatan dan bilik kokurikulum. Selain daripada itu, bangunan tadika Agama Johor juga bakal dibina di tapak yang sama dan bangunan akademik yang boleh menampung seramai 920 orang murid pada satu-satu masa.

Sementara itu, SAKJ Taman Pulai Emas pula akan dilengkapi dengan dewan terbuka berbumbung, bilik guru, surau, dan kantin. Di samping itu, bangunan akademik juga boleh menempatkan seramai 960 orang murid pada satu-satu masa.

Berdasarkan pencapaian terdahulu, KPRJ telah berjaya menyiapkan 97 buah Sekolah Agama pada Fasa 1-4. Kini KPRJ meneruskan usaha membangunkan prasarana terbaik dalam Projek SAKJ Fasa 5 di seluruh Negeri Johor seperti yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri.

Tuan Haji Abd Razak Mohd Yusoff, Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. berkata bahawa KPRJ akan kekal komited dalam memastikan pembangunan SAKJ Fasa 5 dijalankan dengan baik. Pembangunan peribadi dan sahsiah berteraskan pendidikan agama yang diperoleh akan dapat memacu Johor menjadi sebuah negeri yang berlandaskan Johor Islami.