Kluang, 13 April 2018 – Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) dan anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn. Bhd. (KBSB) mengadakan satu Majlis Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKJ) Fasa 5 bagi SAKJ Kluang Barat 2, SAKJ Taman Delima dan SMAKJ Kluang pada hari ini.
Majlis yang diadakan di Tapak Pasar Malam Batu 3, Jalan Mersing, Kluang ini di rasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir, Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Datuk Haji Md. Jais bin Haji Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Projek SAKJ Fasa 5 ini dilihat sebagai satu usaha ke arah mencapai sebuah pembangunan holistik terutamanya dalam industri pembinaan, KPRJ terlibat dalam beberapa inisiatif yang akan memberi dimensi baru dalam pembangunan pendidikan agama yang memberi impak terhadap pembangunan sahsiah dan pendidikan agama di Negeri ini.
Keistimewaan projek sekolah agama Fasa 5 ini adalah reka bentuknya yang baru, lebih moden dan selesa. Di antara kelengkapan yang dibina dan diperbaharui adalah dewan terbuka, dewan peperiksaan, bilik pusat sumber, bilik mesyuarat, kantin dengan tempat makan guru yang berasingan, bilik guru, bilik Guru Besar dengan ruang pentadbiran yang lebih kondusif.
Haji Abd Razak Mohd Yusoff, Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) berkata, 3 SAKJ ini telah di amanahkan oleh Kerajaan Negeri kepada KPRJ untuk membina dan menyiapkan projek SAKJ Fasa 5 di seluruh Negeri Johor.
Beliau menyatakan bahawa KPRJ akan memastikan bahawa amanah yang di berikan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan kesemua SAKJ Fasa 5 akan di laksanakan sebaiknya. Pembinaan SAKJ ini menunjukkan prasarana serta kualiti pendidikan agama sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. Bukan sekadar membangunkan prasarana tetapi menjadikan sekolah agama sebagai benteng moral agar seimbang dengan pembangunan bangsa.