KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER 2019 – Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, berdepan tugas berat untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila menentang jaguh dari Tanzania yang memiliki rekod 22 kemenangan teknikal knockout (TKO) dalam perebutan tiga tali pinggang dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor, Ahad depan.
Farkhan masih memegang rekod tanpa kalah selepas 10 pertarungan.
Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu, bagaimanapun, bakal berdepan ujian berat menentang Pascal Ndomba yang memiliki rekod 24 kemenangan, dua kali tewas, sembilan kali seri dengan 22 kemenangan TKO.
Justeru, Ndomba nyata lebih berpengalaman dalam soal kemampuan menumbangkan lawannya.
“Dia sudah mengharungi 35 pertarungan manakala saya baru 10.
“Daripada segi pengalaman memang memihaknya tetapi dalam kejohanan ini, siapa yang melakukan persiapan yang terbaik dan mempamerkan semangat juang yang lebih tinggi akan menang,” katanya di Wisma OCM, hari ini.
Cabarannya ketika ini ialah menurunkan berat sebanyak 3kg untuk layak beraksi dalam kategori cruiserweight bawah 90kg.
Malah, Farkhan berdepan cabaran untuk mempertahankan tali pinggang Majlis Tinju Dunia, Asia dan Kejuaraan Antara Benua.
“Farkhan secara tidak langsung membuka peluang kepada kerajaan untuk menjadikan Johor sebagai pusat sukan kedua di Malaysia,” kata Pengurus Besar KPRJ Sdn Bhd, Khairuddin Hasan.
Ulas Ketua Pegawai Operasi (COO ) Kumpulan Mah Sing Berhad, Benjamin Ong, pula: “Farkhan mencerminkan apakah yang atlet Malaysia mampu capai di arena antarabangsa.
“Ini adalah kejohanan antarabangsa manakala kami menampilkan peninju tempatan.”
Sumber: http://www.stadiumastro.com/sukan/sukan-lain/artikel/tinju-antarabangsa-johor-rekod-bukan-ukuran-kata-farkhan/