Al-Ikhsan, Sukma XX Johor 2020 jalin kerjasama

SEMPENA Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020, penyokong dan peminat sukan negara boleh mendapat pakaian dan cenderamata rasmi temasya itu di semua cawangan Al-Ikhsan di Johor dan cawangan terpilih di seluruh negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya menyambut baik kehadiran syarikat-syarikat tempatan untuk tampil bersama-sama menjayakan Sukma edisi kali ini.

Menurutnya, kerajaan Johor sememangnya mengalu-alukan kehadiran syarikat tempatan yang ingin bersama-sama dengan keluarga besar Sukma XX Johor 2020 untuk memastikan kejayaan penganjuran temasya yang kali terakhir dianjurkan di negeri itu pada 1992.

“Majlis seumpama ini juga medium terpenting dalam memastikan gerak kerja promosi Sukma XX Johor 2020 diteruskan dengan berbaki 146 hari sahaja lagi.

“Kerajaan Johor melalui Unit Sekretariat Sukma Johor giat menjalankan pelbagai program bagi membawa kehangatan temasya ini dapat dirasai di seluruh negara,” katanya selepas majlis Pelancaran Cenderamata Rasmi Sukma XX Johor 2020 di Beletime Danga Bay, Johor Bahru semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman; Pengerusi Jawatankuasa, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.Logo Sukma XX Johor 2020

Kerjasama ini sekali gus menyaksikan pengeluar barangan sukan terkemuka itu mendapat hak menghasilkan pakaian serta cenderamata rasmi bagi Sukma Johor 2020 selepas kali pertama menjadi penaja pada Sukma Perak 2018.

Al-Ikhsan yang turut membekalkan jersi rasmi beberapa pasukan di Liga Super sera beberapa produk sukan yang lain sudah pasti dapat membawa nilai tambah di dalam kejayaan penganjuran Sukma XX Johor 2020 kali ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Johor sebagai salah satu inisiatif bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk membabitkan diri dalam sukan dan menjalani gaya hidup sihat seiring dengan matlamat utama syarikat berkenaan.

Menurutnya, Al-Ikhsan sebagai pengedar barangan sukan nombor satu di Malaysia menjadi pilihan lebih 20 juta penggiat sukan tanah air.Dr Sahruddin (kanan) bersama-sama dengan tetamu kehormat yang lain meneliti pakaian rasmi Sukma XX Johor 2020 yang sudah mula dijual di cawangan Al-Ikhsan di Beletime Danga Bay, Johor Bahru.

“Koleksi cenderamata dan barangan rasmi Sukma XX Johor 2020 termasuk baju Polo dan kemeja-T untuk kanak-kanak dan dewasa, boleh didapati dengan harga serendah RM29 hingga RM59.

“Barangan eksklusif ini boleh didapati di semua cawangan Al-Ikhsan di Johor dan cawangan terpilih di seluruh negara.” katanya.

Pada majlis sama, Dr Sahruddin turut melancarkan Skuad Promosi ‘Road to Sukma’ yang bertanggungjawab untuk mengendalikan program promosi siri jelajah ke beberapa negeri seperti Selangor, Kedah, Melaka, dan Pahang serta larian obor yang akan diadakan di seluruh Johor.

Sumber : Sinar Harian