JOHOR BAHRU (21 JULAI): Arena Emas, Taman Impian Emas yang dibangunkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ) dengan kos sebanyak RM31 juta telah menerima pujian daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini.
Arena Emas yang merangkumi gelanggang bagi acara memanah, petanque, boling padang dan skuasy ini terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandaraya Johor akan menjadi tumpuan buat para atlet pada temasya SUKMA XX Johor 2020 tahun hadapan.
Wan Ahmad Fayhsal yang mengadakan lawatan kerja ke Johor selama dua hari pada Isnin telah memuji keupayaan Johor di dalam membina fasiliti serba canggih yang mampu menempatkan empat acara berlainan di Arena Emas.
Beliau turut gembira dengan persediaan negara menjelang temasya dwi-tahunan tersebut meskipun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Ini menunjukkan bahawa negeri Johor telah benar-benar bersedia untuk menganjurkan Sukan Malaysia pada tahun hadapan. Malah, segala kelengkapan yang moden dan canggih ini juga boleh digunakan bagi temasya sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika melakukan tinjauan di Arena Emas, Taman Impian Emas hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), Dato’ Mohd Noorazam Osman, KPRJ melalui anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn. Bhd (KBSB) telah bertanggungjawab di dalam membangunkan Arena Emas di kawasan seluas 18.31 ekar yang turut menyediakan kemudahan sukan berserta gelanggang sukan memanah, petanque, boling padang dan skuasy di tapak perkhemahan dan rekreasi Taman Impian Emas.
“Kami di KPRJ bukan sahaja terlibat di dalam membangunkan Arena Emas tetapi turut melibatkan venue seperti Stadium Olahraga, Ragbi, dan Lapang Sasar di Mount Austin, Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri, 3 padang bola sepak di Dataran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan fasiliti sukan pelayaran di Desaru, Kota Tinggi. Untuk rekod, Arena Emas ini telah mula dibina pada 15 Februari 2019 dan kini sudah siap 93.82%,” katanya.
Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada. Sementara sejumlah RM325.9 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM142 juta.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal turut mengadakan lawatan ke Dataran Bolasepak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang sudah siap 92.89% sejak mula dibina pada 15 Februari tahun lalu, Stadium Bola Keranjang Johor di Arena Larkin, Kompleks Tenis Nusa Duta dan juga Velodrome Johor di Iskandar Puteri.
Antara gelanggang yang dinaiktaraf pula merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park, Iskandar Puteri bagi Sukan berbasikal MTB.
SUKMA XX Johor 2020 akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Pagoh dan Kota Tinggi. Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Johor Bahru manakala Pagoh akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam serta Kota Tinggi menjadi gelanggang buat sukan pelayaran dan berbasikal lebuh raya.
Sumber : The Independent