Arena Emas serba canggih

JOHOR BAHRU: Arena Emas, Taman Impian Emas yang dibangunkan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kos RM31 juta menerima pujian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Arena Emas yang merangkumi gelanggang bagi acara memanah, petanque, boling padang dan skuasy ini terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandaraya Johor akan menjadi tumpuan atlet pada temasya SUKMA XX Johor 2020 tahun hadapan.

Wan Ahmad Fayhsal yang mengadakan lawatan kerja ke sini memuji keupayaan negeri ini dalam membina fasiliti serba canggih yang mampu menempatkan empat acara berlainan di Arena Emas.

Beliau turut gembira dengan persediaan negeri ini menjelang temasya dwitahunan itu meskipun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

“Ini menunjukkan Johor sudah bersedia menganjurkan Sukan Malaysia tahun hadapan. Malah, segala kelengkapan yang moden dan canggih ini boleh digunakan bagi temasya sukan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika melakukan tinjauan di Arena Emas, Taman Impian Emas, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman, KPRJ melalui anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn Bhd (KBSB) bertanggungjawab membangunkan Arena Emas di kawasan seluas 7.4 hektar itu.

“Kami bukan sahaja membangunkan Arena Emas tetapi turut membabitkan venue seperti Stadium Olahraga, Ragbi, dan Lapang Sasar di Mount Austin, Velodrom Johor dan Trek BMX di Iskandar Puteri, 3 padang bola sepak di Dataran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan fasiliti sukan pelayaran di Desaru, Kota Tinggi.

Untuk rekod, Arena Emas ini mula dibina pada 15 Februari 2019 dan kini sudah siap 93.82 peratus,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal ketika mengadakan lawatan ke Arena Emas, Taman Impian Emas yang merangkumi gelanggang acara memanah, petanque, boling padang dan skuasy petang tadi.

Wan Ahmad Fayhsal ketika mengadakan lawatan ke Arena Emas, Taman Impian Emas yang merangkumi gelanggang acara memanah, petanque, boling padang dan skuasy petang tadi.

Sumber : Berita Harian