News

COVID-19: Johor belum terima perubahan tarikh SUKMA 2020

By March 11, 2020 No Comments

KUANTAN, 10 Mac — Kerajaan negeri Johor masih belum menerima permohonan atau arahan perubahan tarikh penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung Julai ini, ekoran COVID-19.

Menteri Besarnya Datuk Hasni Mohammad berkata setakat ini, Majlis Sukan Negara (MSN) juga tiada memberi gambaran jika penganjuran temasya sukan itu perlu ditangguhkan. 

“Selaku tuan rumah, kita akur jika berlaku perubahan tarikh berdasarkan persetujuan bersama negeri yang mengambil bahagian walaupun buat masa ini, dilihat ia akan diteruskan seperti dijadualkan. 

“Saya yakin dan percaya semua langkah kawalan, keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan akan dipenuhi sepenuhnya jika temasya ini diteruskan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah jemputan rasmi SUKMA Johor 2020 kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini, hari ini. 

Hasni juga memaklumkan bahawa semua persiapan kemudahan untuk SUKMA Johor 2020 di tiga daerah yang melibatkan 39 lokasi kini berada di peringkat akhir. 

SUKMA Johor 2020 dijadual berlangsung pada 11 Julai di Johor Bharu, Kota Tinggi dan Muar dengan maskot rasmi harimau bernama ‘Jimi’. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata persiapan atlet Pahang yang akan menyertai temasya itu semakin giat dilakukan bagi mencapai sasaran lebih 20 pingat emas. 

“Pahang juga berbincang mengenai usaha kita ke arah pemakaian patuh syariah kepada atlet negeri melibatkan sukan yang bersesuaian sebagai permulaan, namun buat masa ini, ia masih belum dimuktamadkan,” katanya. 

BERNAMA

kprj

About kprj

Leave a Reply