Jangan Sewakan Semula Unit Rumah Sewa Beli – MB

JOHOR BAHRU: Penerima unit Skim Sewa Beli Hartanah Johor diminta tidak menyewakan semula unit yang diperoleh mereka bagi mendapatkan keuntungan segera.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata pemilik yang didapati menyewakan unit mereka untuk ‘makan atas angin’ akan berdepan tindakan tegas.

“Tahniah kepada bakal pemilik rumah yang berjaya melepasi permohonan Skim Sewa Beli Hartanah Johor di Rumah Pangsa Seri Banduri hari ini.

“Janganlah pula menyewakan semula unit ini demi mendapatkan keuntungan segera atau orang kata ‘makan angin’.

“Jika ada dalam pengetahuan (kerajaan negeri), ada pemilik yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain, diharapkan pemilik lain supaya laporkan kepada pihak kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengundian Unit Jauhar Prihatin Rumah Pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Mohd Noorazam Osman.

Sebanyak 190 unit rumah pangsa Seri Baiduri, Bandar Tiram, Ulu Tiram diselenggara Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) yang dibina Johor Land Berhad (JLand) terbabit dalam proses pengundian itu.

Sementara itu, Osman berkata, kerajaan negeri tidak hanya menitikberatkan matlamat penyediaan unit perumahan itu sahaja, tetapi Skim Jauhar Prihatin diperkenalkan bagi membolehkan golongan kurang mampu dapat memiliki rumah dengan kaedah sewa beli.

“Skim Sewa Beli (RTO) Jauhar Prihatin bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah perumahan kepada golongan B40, tetapi pelaksanaannya menjadi lambang sebuah kerajaan prihatin dan menitikberatkan kebajikan rakyat.

“Kaedah pembiayaan tertangguh digunakan memberi peluang kepada pembeli memasuki rumah menerusi skim penyewaan selama lima tahun.

“Pembeli rumah ini beruntung kerana kadar sewaan bulanan yang ditetapkan adalah rendah iaitu RM260 sebulan bagi seunit, bahkan harga semasa pasaran sewaan bulanan ketika ini boleh mencecah RM350 sebulan,” katanya.

Katanya, sehingga kini, dianggarkan sebanyak 4,715 unit diperuntukkan di bawah skim RTO Jauhar Prihatin dengan 90 peratus meliputi daerah Johor Bahru.