L’Etape Malaysia: Pelumba Kebangsaan, Muhammad Elmi muncul juara keseluruhan

(Pelumba Kebangsaan, Muhammad Elmi Juhari muncul juara keseluruhan kategori individu)

KOTA TINGGI, 4 Jun – Pelumba Kebangsaan, Muhammad Elmi Juhari muncul juara keseluruhan kategori individu selepas mengatasi pelumba lain termasuk dari Afrika Selatan pada edisi sulung L’Etape Malaysia oleh Tour De France di sini, hari ini.

Kejayaan itu juga membolehkan beliau berada di tahap prestasi terbaik menjelang aksi penting tahun ini.

Pelumba Kebangsaan itu menyifatkan kejayaan tersebut penting baginya untuk terus berada pada momentum terbaik menjelang Le Tour De Langkawi yang dijadual berlangsung pada Oktober.

Dalam saingan utama hari ini, Elmi melintasi garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 11 minit 11 saat di depan manakala David Cheam Dow Wei di tempat ke-2.

Sementara itu, Hishamudin Aalaudin di tempat ke-3 manakala wakil Afrika Selatan Matthem Brittain sekadar di kedudukan keempat.

Manakala Tan Sook Fang, Chong Yee Kuan dan Tan Hui Jin mengakui tidak menjangkakan mampu menguasai kategori berpasukan wanita.

Lebih mengagumkan, ini kali pertama mereka dikumpulkan bersama dalam acara berpasukan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kejayaan penganjuran kali ini membuktikan kemampuan Johor menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, selepas Letape Malaysia, Desaru sekali lagi akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan dunia, Ironman pada Julai depan.

Desaru menjadi lokasi pertama perlumbaan yang menjadi tumpuan buat pencinta acara berbasikal dengan menarik minat seramai 4,700 peserta dari dalam dan luar negara.

L’Etape Malaysia melibatkan dua jarak kayuhan iaitu 140 kilometer (km) dan 60km.

Sumber : Berita RTM