Projek rumah guna teknologi kenaf di peringkat akhir perbincangan

JOHOR BAHRU: Rancangan projek perumahan jangka panjang bernilai RM10 bilion menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) Tasblock berasaskan kenaf kini di peringkat akhir perbincangan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata keperluan bahan kenaf bagi projek itu dianggarkan berjumlah dua juta tan dengan memerlukan keluasan tanaman seluas 20,000 hektar dalam tempoh 10 tahun.

“Kita (kerajaan) akan umumkan mengenai perinciannya dalam tempoh terdekat, dengan projek yang bakal dilaksanakan mampu melonjakkan industri penanaman kenaf negara.

“Teknologi IBS berasaskan kenaf mampu menghasilkan produk berkualiti serta menjimatkan tenaga dan kos pembinaan antara 25 hingga 30 peratus, berbanding kaedah konvensional.

“Malah, teknologi ini juga mampu menjimatkan kebergantungan terhadap bahan seperti pasir dan batu aggregate yang menjejaskan ekosistem alam sekitar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan KPRJ Builders Sdn Bhd (KBSB).

Ia bagi mengkomersilkan teknologi pembinaan berasaskan IBS di Johor menerusi kerjasama strategik LKTN dan KBSB.

Mohd Khairuddin berkata, negara pada masa kini mempunyai seluas 2,000 hektar tanaman kenaf di Pahang dan Kelantan, manakala di Johor pula sebanyak 20 hektar tanaman itu.

“Potensi pasaran industri kenaf ini akan melonjakkan transformasi pengeluaran pekebun kecil B40 kepada ladang kluster komuniti serta ladang komersial.

“Pengembangan teknologi IBS berasaskan kenaf akan memberi kesan positif kepada alam sekitar kerana tanaman ini mampu menyerap 20 tan karbon dioksida sehektar, manakala penggunaan bahan binaan berdasarkan komoditi ini pula dapat menyimpan 28 tan karbon dioksida bagi setiap rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johir Sdn Bhd (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata kerjasama dimeterai bersama LKTN adalah komitmen syarikat untuk menyokong pembinaan menggunakan bahan binaan mesra alam.

“KPRJ percaya penggunaan teknologi IBS untuk industri pembinaan di Johor bukan saja mesra alam, malah mampu menjimatkan kos pembinaan rumah di negeri ini,” katanya.

Hasni (tiga dari kanan) dan Mohd Khairuddin (kiri) melawat pameran pada majlis MoU antara LKTN dan  KPRJ Builders Sdn Bhd di Bangunan Datuk Jaafar Mohamad, Iskandar Puteri, Johor hari ini. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Hasni (tiga dari kanan) dan Mohd Khairuddin (kiri) melawat pameran pada majlis MoU antara LKTN dan KPRJ Builders Sdn Bhd di Bangunan Datuk Jaafar Mohamad, Iskandar Puteri, Johor hari ini. – Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Sumber : Berita Harian