IIB lancar Iskandar Next

Hasni (dua dari) kiri bergambar dengan robot bernama Pepper yang turut menjadi pengacara pada Majlis Pelancaran Iskandar NEXT di Fraser Place, Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Iskandar Investment Berhad (IIB) hari ini melancarkan Iskandar New Economy Experience Talent (Iskandar NEXT) sebagai usaha merancakkan pembangunan berasaskan ekonomi digital di Iskandar Malaysia.
Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Hasni dalam ucapannya berkata, Iskandar NEXT adalah inisiatif IIB dengan konsep Perkongsian Awam dan Swasta (PPP) dalam mewujudkan peluang pekerjaan baharu selain memperkukuhkan kepercayaan pelabur.

“Ia akan membawa ekonomi digital yang baharu, perniagaan dan pengalaman hidup baharu serta bakat baharu ke Iskandar Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran berkenaan yang diadakan di Fraser Place, Puteri Harbour di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Izhar Ahmad; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Noorazam Osman

Menteri Besar berkata, para pelabur sentiasa mahukan insentif, lokasi strategik, kestabilan ekonomi dan politik, jaringan perhubungan yang luas, dan sumber tenaga kerja yang relevan dan semua itu ada di Johor.

“Johor telah berkembang maju sebagai salah satu hab pembuatan utama di Malaysia dan Revolusi Industri 4.0 akan dapat membawa sektor pembuatan Johor ke tahap yang seterusnya dengan peningkatan produktiviti dan pada masa yang sama menurunkan kos operasi syarikat.

“Oleh itu, Johor memerlukan ekosistem digital bersepadu. Ekosistem digital ini mesti menghubungkan kerajaan dengan perniagaan dan pengguna, dengan memberikan mereka pemangkin yang diperlukan.

“Pemangkin ini perlu dapat menarik syarikat berteknologi tinggi dan bakat mereka untuk melabur dan bertapak di Johor. Apabila ini berlaku, ekonomi Johor akan berubah secara holistic,” katanya.

-BebasNews