JOHOR ESPORTS FESTIVAL 2022  TAWAR HADIAH TERKUMPUL RM86,000.00

SIARAN AKHBAR

10 MAC 2022

JOHOR ESPORTS FESTIVAL 2022  TAWAR HADIAH TERKUMPUL RM86,000.00

Fenomena luar biasa eSports memang tidak dapat disangkal lagi apabila ia berkembang pesat menjadi satu industri dan mula mendapat pengiktirafan di seluruh dunia sehinggakan turut dijadikan sebagai salah satu acara sukan di temasya Sukan SEA.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (“KPRJ”) melalui anak syarikatnya, Sports Johor Sdn Bhd (“SJSB”) tampil menganjurkan kejohanan terbesar eSports di negeri Johor iaitu Johor Esports Festival 2022.

Kejohanan yang ditaja oleh KPRJ ini menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM 86,000.00 dan mensasarkan 7,500 atlet termasuk pasukan jemputan yang mempunyai nama besar dalam industri eSports tanah air.

Kesemua pemain eSports berpeluang menunjukkan kehandalan masing-masing dengan mengambil bahagian dalam tiga jenis judul permainan video yang terpilih iaitu FIFA22, Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknowns Battlegrounds (PUBG) Mobile.

Menurut Pengurus Besar SJSB, Encik Mohd Johari Tarmizi, penganjuran Johor Esports Festival 2022 bakal memberi peluang buat Johor untuk mempromosi dan mempersiapkan diri sebagai hub eSports di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Objektif utama mempromosikan eSports adalah untuk membangunkan platform yang kompetitif kepada semua atlet eSports di Johor. Festival yang julung kali diadakan ini mempunyai tiga peringkat bagi tiga permainan berbeza dan akan menjadikan ia acara tahunan terbesar di negeri ini,” kata Johari.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekuti KPRJ, Lukman Abu Bakar berkata, “Johor Esports Festival 2022 bakal menyediakan platform yang kompetitif untuk pasukan dan atlet eSports sekali gus dapat melahirkan sekurang-kurangnya lima pemain secara konsisten dari setiap liga untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun bermula sekarang”.

“Johor Esports Festival 2022 ini juga mampu memberi peluang kepada komuniti eSports di Johor untuk melibatkan diri dalam penganjuran acara bukan sahaja sebagai sukarelawan tetapi juga membuka peluang pekerjaan dengan sekurang-kurangnya satu pekerjaan baharu sepenuh masa dapat dicipta setiap tahun melalui penganjuran festival ini”.

“Kejohanan ini juga membuka peluang perniagaan kepada ahli persatuan daripada studio permainan video, syarikat pengurusan acara dan entiti perniagaan lain dengan sasaran perkongsian keuntungan sebanyak 70 peratus, manakala baki 30 peratus lagi akan disalurkan kepada Dana Pembangunan Persatuan eSports,” kata Lukman.

Peringkat pertama Johor Esports Festival 2022 akan bermula dengan kelayakan secara atas talian pada 22 Mac 2022, diikuti peringkat kedua pada 22 Mei 2022 dan peringkat ketiga pada 22 Julai 2022. Ini merangkumi 32 pasukan/atlet daripada setiap peringkat bakal melayakkan diri bagi menguji kehebatan masing-masing di peringkat Grand Final pada 22 September 2022.

Peserta yang layak ke Grand Final pula akan berentap dengan 32 pasukan/atlet jemputan di Arena Larkin untuk memburu kejuaraan sulung kejohanan ini. Juara bagi setiap peringkat akan membawa pulang RM3,000.00 (FIFA22), RM1,500.00 (MLBB) dan RM1,500.00 (PUBG) Mobile, manakala hadiah terkumpul untuk Grand Final ialah RM50,000.00. Johan Grand Final FIFA22 akan membawa pulang RM10,000.00, manakala bagi MLBB pula RM8,000.00 dan PUBG Mobile RM8,000.00.

Penganjur, Sports Johor Sdn Bhd meletakkan sasaran 300,000 orang secara atas talian akan menyaksikan kejohanan yang julung kali diadakan ini.

Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut boleh menghubungi sekretariat MAJLIS PRA PELANCARAN JOHOR ESPORTS FESTIVAL 2022 DAN SIDANG MEDIA, Puan Nik Anura di talian 012-3391747 atau emel kami di mcboyer.ent@gmail.com.