Johor tekad jadikan sukan industri ekonomi baharu

KERAJAAN Negeri Johor menerusi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Hj Hasni Mohammad pada Khamis, menjelaskan visinya untuk menjadikan bidang sukan sebagai sebuah industri ekonomi yang baharu di Johor.

Belanjawan tersebut menyaksikan sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan Johor Sports Masterplan 2030.

Pelan induk ini akan memberikan halatuju baharu kepada industri sukan negeri Johor bukan sahaja luntuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata tetapi menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi baharu kepada negeri Johor.

Sehubungan dengan itu, Sports Johor Sdn. Bhd dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam usaha untuk memuktamadkan kolaborasi bersama Loughborough Universiti, United Kingdom yang merupakan universiti terbaik di dunia dalam bidang sains sukan.

Ia bukan sahaja dapat membantu
memantapkan persiapan kontinjen Johor bagi menghadapi SUKMA XX Johor 2022 malah kerjasama ini berpotensi untuk membantu Johor bagi melahirkan atlet bertaraf dunia, membangunkan industri
sukan serta memacu pembangunan sektor pelancongan sukan.

Menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Gadaffie Abd Aziz berkata, MSNJ akan menggredkan kesemua 41 Persatuan Sukan Negeri Johor yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan
Malaysia dan bernaung di bawah MSNJ bertujuan untuk menilai prestasi bagi tujuan pemberian Geran Subsidi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

“Objektif pemberian geran subsidi ini adalah untuk memperkasa peranan persatuan sukan negeri Johor supaya lebih proaktif, berdaya saing dan berfokus.

“Pendekatan ini turut menggalakkan persatuan menjalankan program pembangunan yang berstruktur, membangun potensi atlet, jurulatih dan teknikal serta mengawal selia keaktifan persatuan.

“Di samping itu, MSNJ juga akan melaksanakan Program Profesionalisasi Persatuan Sukan dengan harapan persatuan yang dipilih mengikuti program ini akan dapat memperkasa peranan mereka dari segi fungsi dan perancangan seterusnya mampu bergerak sendiri tanpa mengharapkan subsidi dari MSNJ,” katanya.

Sejumlah RM1 juta turut diperuntukkan bagi Program Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri Johor termasuk pemberian geran MSNJ kepada persatuan sukan negeri.

Sumber : https://cakapsukan.com/2020/12/01/johor-tekad-jadikan-sukan-industri-ekonomi-baharu/