KBSB & LKTN TANDATANGANI MOU,BINA KERJASAMA PEMBINAAN DARIPADA KENAF

ISKANDAR PUTERI, 19 APRIL 2021 – Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (“KPRJ”) melalui anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn Bhd (“KBSB”) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (“LKTN”) hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di mana kedua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi memperluas penggunaan teknologi Kenaf Building System (KBS) untuk industri pembinaan di seluruh negara khususnya di negeri Johor.

Majlis yang diadakan di Pejabat Menteri Besar Johor, Iskandar Puteri ini di serikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (“KPPK”) yang menyaksikan majlis menandatangi MOU diantara Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman dan Tuan Haji Idris bin Mohd Salleh, Ketua Pengarah LKTN.

Inisiatif ini adalah usaha kedua-dua pihak dalam memperluas penggunaan kenaf dalam sistem pembinaan yang dilihat mampu merancakkan lagi pembangunan industri pembinaan di negeri Johor terutama yang berasaskan kenaf. Teknologi baharu ini menggunakan teknologi hijau, mesra alam juga dapat menjimatkan kos pembinaan, tenaga kerja, logistik dan masa.

Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Tuan Haji Idris bin Mohd Salleh berkata “Hubungan kerjasama ini dapat memberi impak positif yang lebih cepat kepada industri pembinaan berasaskan kenaf dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan penggunaan kenaf. Industri kenaf juga akan lebih segera dikenali melalui produk mesra alam”.

YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin, Menteri KPPK pula berkata “Kerjasama ini akan menjadi medium bagi mempromosikan kenaf sebagai komoditi baharu dalam industri pembinaan dan produk berasaskan kenaf. Kerajaan melalui Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan pembangunan industri ini diperkasa dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya“.

Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman berkata, “Kerjasama yang dimeterai bersama LKTN adalah sebahagian daripada komitmen KPRJ bagi menyokong pembinaan yang berkhususkan bahan binaan mesra alam terutama bagi projek-projek yang akan dibina KBSB di negeri Johor ini. Inovasi ini mampu membawa KBSB ke tahap yang lebih efisen dalam melestarikan penggunaan bahan binaan“.

Menurut beliau lagi, “KPRJ percaya dengan penggunaan teknologi Kenaf Building System (KBS) untuk industri pembinaan di negeri Johor ini, ianya mampu menjimatkan kos dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar”.