Projek perumahan guna kenaf bernilai RM6 bilion

MOHD. Khairuddin Aman Razali (depan, tiga kanan) bersama Hasni Mohammad (dua kanan) melihat produk kenaf yang akan digunakan dalam pembinaan perumahan selepas Majlis MoU antara LKTN dan KBSB di Iskandar Puteri, Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bakal membangunkan projek perumahan awam jangka masa panjang bernilai RM6 bilion dengan menggunakan bahan kenaf sebagai komponen utama pembinaan.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, projek itu kini sedang berada dalam peringkat akhir perbincangan sebelum keputusan dicapai dengan perancangan pembangunan di beberapa lokasi seluruh negara termasuk Johor melibatkan kos sebanyak RM50 juta.

“Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bersama beberapa agensi lain sedang mewujudkan kerjasama strategik untuk membina perumahan awam bernilai RM6 bilion. Projek ini dianggarkan memerlukan bahan kenaf sebanyak 2 juta tan dengan keluasan tanaman 20,000 hektar dalam tempoh 10 tahun.

“Langkah ini secara tidak langsung akan melonjakkan transformasi pengeluaran kenaf oleh pekebun kecil golongan B40 kepada ladang kluster komuniti serta ladang komersial,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara LKTN dan KPRJ Builders Sdn. Bhd. (KBSB) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Turut hadir menyaksikan Mou itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad manakala MoU ditandatangani Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd. Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Tambah Mohd. Khairuddin, MoU berkenaan akan menyaksikan pembinaan 10 unit rumah asnaf berkeluasan 55.74 meter persegi bernilai RM550,000 oleh KBSB di Mersing dengan penggunaan 30 tan kenaf disediakan LKTN sebagai projek perintis.

“Sementara itu, berhubung projek perumahan awam berkenaan, LKTN mensasarkan pembinaan 200 unit rumah menggunakan teknologi sistem binaan berasaskan kenaf (KBS) dengan nilai RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

“Penggunaan bahan kenaf dalam pembinaan mempunyai pelbagai manfaat jika dibandingkan dengan penggunaan bahan konvensional sedia ada.

“KBS merupakan satu bahan binaan yang ringan, ia akan mempercepat tempoh pembinaan, menjimatkan tenaga kerja selain penjimatan kos pembinaan sebanyak 25 hingga 30 peratus berbanding kaedah konvensional.

“KBS juga merupakan penebat haba yang baik sekaligus dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik khususnya alat pendingin hawa untuk tempoh jangka masa panjang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE