LAWATAN KERJA MENTERI BELIA DAN SUKAN YB SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN KE VENUE SUKMA XX JOHOR 2020

JOHOR BAHRU, 29 Julai 2019 – Satu lawatan kerja oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman harini bertempat di venue-venue SUKMA XX JOHOR 2020 iaitu di Velodrome Johor (Iskandar Puteri), Stadium Olahraga@ Sportcity (Mout Austin) dan Arena Emas di Taman Impian Emas, Johor Bahru.

Lawatan kerja Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman ini bertujuan bagi melawat kemajuan di venue-venue SUKMA XX Johor 2020. Lawatan ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (“KPRJ”), Dato’ Haji Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd (“SJSB”), Tuan Haji ‘On bin Jabar.

Lawatan selama sehari ini bermula di Stadium Olahraga@SportCity di Mount Austin, Johor Bahru yang akan digunakan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di negeri Johor pada tahun 2020 sekaligus menjadi lokasi utama bagi acara sukan olahraga dan ragbi. Stadium Olahraga Mout Austin ini terletak bersempadanan dengan pembangunan Eco Business Park, 20KM dari Johor Bahru dan 35KM dari Iskandar Puteri.

Stadium ini direkabentuk mengikut system modular yang boleh menampung kapasiti penonton sebanyak 5000 orang, dilengkapi dengan “full colour LED Video Mobile Scoreboard” bagi mencatat masa pertandingan,”athletic photo-finish timing system”, “field event equipment with wireless network”, mendapat pengiktirafan kelas 2 IAAF, mempunyai 2 padang ragbi mengikut spesifikasi antarabangsa dan dilengkapi kemudahan sukan olahraga yang memenuhi kehendak KOAM dan MSN seperti lumba lari berpagar, lontar peluru, lempar cakera, rejam lembing, lompat jauh, lompat tinggi, lompat bergalah, lompat kijang dan lari berhalangan.

Lawatan seterusnya diteruskan ke Velodrome Johor yang bertempat di Iskandar Puteri. Velodrome yang terdiri dari 3 tingkat bangunan dengan keluasan tapak 6.3 ekar ini di bangunkan bagi arena trek berbasikal bagi kelas projek “Union Cycliste Internationale” dengan trek basikal sepanjang 250 meter dan kapasiti 700 tempat duduk.

Venue SUKMA XX Johor terakhir adalah di Arena Emas, Taman Impian Emas. Arena Emas ini dinaiktaraf oleh KPRJ melalui anak syarikatnya KPRJ Builders Sdn Bhd (“KBSB”) bagi kemudahan sukan beserta gelanggang bagi sukan memanah, petanque, lawn bowl dan skuasy di tapak perkhemahan dan rekreasi Taman Impian Emas, Johor Bahru. Keluasan tapak adalah 18.31 ekar dengan komponen pembangunan bagi astaka utama, arena sukan memanah, petanque, skuasy dan lawn bowl.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ), Dato’ Haji Noorazam bin Dato’ Haji Osman, “Kerja-kerja pembangunan, kemajuan dan menaiktaraf venue-venue SUKMA XX Johor 2020 oleh KPRJ ini menyaksikan satu lagi usaha ke arah mencapai sebuah pembangunan sukan yang terancang terutamanya dalam industri sukan di negeri Johor”.

Beliau berkata, melalui Sports Johor Sdn Bhd, anak syarikat KPRJ dan sekretariat SUKMA XX Johor akan sentiasa berusaha bagi membantu dalam pembangunan sukan dan atlet di negeri ini ke tahap yang lebih bagus.