KOTA TINGGI – Kejayaan acara perlumbaan amatur L’Étape Malaysia oleh Tour de France hari ini menyumbang kepada limpahan ekonomi sebanyak RM13 juta untuk Johor, kata Menteri Besar negeri berkenaan, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau mengesahkan kejohanan antarabangsa anjuran bersama Muse Group Asia dan Sports Johor Sdn Bhd itu memberi impak positif kepada negeri tuan rumah.
Acara itu turut menerima kira-kira 10,000 pengunjung, termasuk pelumba dan ahli keluarga mereka pada hujung minggu.
“Saya benar-benar bersyukur. Ini adalah kejayaan besar bagi kami dan saya berterima kasih kepada penganjur. Johor kini kembali normal dari segi penganjuran acara antarabangsa.
“Ini bukan satu-satunya program dianjurkan di sini kerana akan ada satu lagi acara besar bakal diadakan di Desaru Coast, iaitu Half Ironman,” katanya pada sidang media di sini, hari ini..
Acara Ironman dimaksudkan itu adalah Desaru Coast Multisport Festival yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Julai ini.
Beliau berkata, pada bulan berikutnya, Johor akan menganjurkan perlumbaan sparta di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.
Sementara itu, wartawan The Vibes mendapatkan komen daripada beberapa peserta L’Étape Malaysia yang pertama kali menyertai perlumbaan berkenaan.
Pelumba dari Shah Alam, Wan Musaddiq Yahya, 28, berkata, dia menyertai acara sejauh 140 kilometer (km) untuk menimba pengalaman dan bersyukur dengan profesionalisme penganjur.
“Saya perlu mengakui ia satu ‘penyeksaan’ untuk saya. Tayar saya pancit semasa menunggang tetapi saya gembira kerana penganjur berusaha sebaik mungkin membantu saya,” katanya.
Warga Britain, Aimee Pink, 29, yang kini menetap di Singapura berkata, ia adalah perlumbaan berbasikal pertamanya, namun dia memutuskan untuk memilih laluan sejauh 140 km sebagai mempersiapkan diri menyertai acara Ironman.
“Saya datang ke sini untuk melakukan kayuhan di bukit kerana Singapura agak rata (dari segi rupa bumi), jadi kami boleh bersedia untuk perlumbaan seterusnya.
“Pengalaman hari ini sangat mengagumkan, walaupun saya tidak mengharapkan apa-apa dan saya menyukai setiap minit (perlumbaan),” katanya.
Manakala, bagi Terry Tan, 33, yang menetap di Johor dan bekerja di Singapura, dia mengambil peluang untuk berlatih di Desaru sebelum hari acara.
“Cuaca baik ketika kami bermula. Tapi lepas tu hujan sekejap, lepas tu panas.
“Saya hanya mahu menamatkan perlumbaan. Saya juga menyukai pemandangan dan makanan tenaga tambahan disediakan penganjur,” kongsinya.
The Vibes adalah rakan media rasmi L’Étape Malaysia dan menyertai dua pasukan tajaan Yayasan Vinod Sekhar.
The Vibes adalah syarikat PETRA News yang turut menerbitkan portal Bahasa Malaysia, Getaran. – The Vibes, 4 Jun 2022