MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RUMAH PROJEK PERUMAHAN RMMJ SETIA INDAH FASA 3B DAN KUNCI RUMAH PROJEK PERUMAHAN RMB PANGSAPURI FLORA DAMAI YANG DISEMPURNAKAN OLEH YAB MENTERI BESAR JOHOR, DATO’ HAJI HASNI MOHAMMAD DI PUSAT KOMUNITI TAMAN EKOFLORA (Makmur Johor, 2021)

Program Penyerahan Kunci Rumah Teres 2 Tingkat Kos Sederhana Rendah Fasa 3B Taman Setia Indah telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Hasni Bin Mohammad, Menteri Besar Johor bertempat di Pusat Komuniti Taman Ekoflora, Johor Bahru hari ini.Kerajaan Negeri telah melantik KPRJ melalui anak syarikatnya KPRJ Development Sdn Bhd selaku pelaksana baikpulih projek terbengkalai di Taman Setia Indah telah mencatatkan kejayaan dengan menamatkan penantian 177 pembeli Rumah Teres 2 Tingkat Kos Sederhana Rendah Taman Setia Indah bagi Fasa 3B untuk memiliki rumah mereka sendiri.Bagi projek ini, kerja-kerja pembinaan di tapak telah dijalankan bermula pada bulan September 2019 bagi membaikpulih dan menyiapkan 427 unit Rumah Teres 2 Tingkat Kos Sederhana Rendah Taman Setia Indah secara usahasama dengan Kerajaan Negeri Johor.

Terdapat 3 fasa dalam pembangunan bagi perumahan ini. Ini merangkumi Fasa 2 sebanyak 136 unit, Fasa 3A sebanyak 95 unit dan Fasa 3B sebanyak 196 unit yang dibangunkan diatas tanah seluas 24.10 ekar dengan setiap satu unit binaan berkeluasan 1000 kaki persegi.

Atas komitmen dan sokongan dari Kerajaan Negeri, penantian semua pembeli rumah Taman Setia Indah ini bakal berakhir kerana serahan kunci bagi setiap fasa akan dilakukan secara berperingkat. Bagi Fasa 3B, Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah diperolehi pada 30 September 2021 dan akan diserahkan bermula hari ini. Manakala bagi Fasa 2 dan 3A dianggarkan akan memperolehi CCC pada akhir Disember 2021.