Program Penanaman Pokok dan Kesihatan Minda

Yayasan KPRJ (YKPRJ) telah menganjurkan Program Penanaman Pokok dan Kesihatan Minda di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Bandar Putra Kulai, dengan kerjasama MPKu.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Encik Fizwan bin Dato’ Haji Mohd Roshidi, Pegawai Daerah Kulai. Turut hadir, Yang Berhormat Dato’ Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ merangkap Pengerusi YKPRJ, dan Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Fahmi bin Salam, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kulai.

Program ini diadakan bagi memupuk kesedaran terhadap kepentingan mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kesihatan minda kepada para peserta dan orang awam. Lebih 300 peserta dari KPRJ, MPKu, Pejabat Daerah Kulai, Jabatan Perhutanan Negeri Johor, dan pengunjung Hutan Bandar MPKu turut serta dalam penanaman 150 anak pokok hutan, nadir dan buah-buahan.

Antara pengisian program ialah taklimat penghijauan Malaysia oleh Cik Syaza Syahirah Nordin dari Jabatan Perhutanan Negeri Johor, ceramah kesihatan oleh Dr. Zarina binti Zainan Abidin, Ceramah Go Green oleh Tuan Haji Yazid bin Kasbolah dan Pemeriksaan Kesihatan daripada Hospital Pakar KPJ Puteri, Johor Bahru, senamrobik dan briskwalk.

YKPRJ berharap agar program ini dapat diteruskan setiap tahun dengan kerjasama semua agensi berkaitan untuk menyokong hasrat Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok sehingga tahun 2025 di seluruh Malaysia.