RM10 juta suntikan semangat buat persatuan sukan

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana berjumlah RM10 juta kepada persatuan sukan kebangsaan menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 bagi membantu mereka yang terkesan dengan koronavirus (Covid-19).

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu rakaman video berkata, langkah proaktif itu diambil bagi membantu persatuan sukan tanah air terutamanya pemegang taruh yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Jelas Reezal Merican, di bawah inisiatif itu, peruntukan akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu RM2 juta sebagai bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah PJS; keduanya, bantuan menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan (RM5 juta); dan ketiganya, bantuan bagi program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan (RM3 juta).

“Bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan yang berkelayakan akan diberikan bantuan ‘one-off’ RM5,000 hingga RM10,000 dan dijangka memberikan manfaat kepada hampir 200 persatuan sukan kebangsaan di seluruh negara,” katanya.

Reezal berkata, bantuan menjalankan program dan aktiviti pula adalah untuk persatuan sukan dan rekreasi di semua peringkat, di mana ia terbuka kepada semua persatuan sukan yang berdaftar di bawah PJS.

Katanya, bantuan itu bertujuan untuk menggalakkan program dan aktiviti semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti program cabaran maya (virtual) serta pembelajaran dalam talian, ia terhad kepada jumlah maksima RM20,000 bagi setiap persatuan yang layak.

Reezal berkata, bantuan program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan sukan dan rekreasi di semua peringkat, terbuka kepada semua persatuan sukan yang berdaftar di bawah PJS pula bertujuan menggalakkan projek pendigitalan seperti pembangunan laman web atau media sosial dan kandungan media digital seperti video.

“Persatuan sukan juga boleh mencadangkan projek R&D untuk inovasi, teknologi sukan atau untuk tujuan pengkomersilan produk dan perkhidmatan sukan masing-masing, termasuk dengan kerjasama universiti, agensi berkaitan atau pihak swasta. Jumlah maksimum yang boleh dipohon adalah RM30,000 bagi setiap persatuan sukan yang layak untuk kategori program pendigitalan atau R&D,” katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/88209/BERITA/Sukan/RM10-juta-suntikan-semangat-buat-persatuan-sukan